Friday 28 October 2011

Kisah Selepas Salemba – Siri 2 – Dr Zalilah Abd Manan

Sabar itu separuh Iman
[Hanya Foto Hiasan Semata-mata]
Sabar membawa erti tidak mudah marah, tidak mudah putus asa, tidak terburu-buru, bersikap tenang dan kuat menghadapi kesakitan atau rintangan. Sifat sabar amat dituntut sehingga timbul satu konotasi yang hampir menjadi milik umum kerana ada rakan saya yang bukan melayu, bukan muslim juga tahu. Cuma kerana tidak begitu pasti tentang istilah iman, rakan saya selalu menyeru dengan menyebut ‘sabar itu separuh dari nabi’.

Sekali lagi tulisan saya berkait rapat dengan tugas di bidang kedokteran. Mungkin boleh dijadikan renungan oleh adik-adik yang baru masuk ke alam kedokteran. Anda akan menghadapi banyak perkara remeh-temeh tapi kadangkala sangat menggugat kesabaran. Tetap sahaja anda dituntut untuk terus bersabar kerana profesi kedokteran harus sinonim dengan kesabaran. Sifat sabar dapat membantu kita mengambil keputusan dan tindakan yang lebih objektif.

Sejak alam perkuliahan lagi tuntutan kesabaran banyak yang perlu dipenuhi. Saya masih ingat, sedang rakan rakan lain berpeluang menyertai berbagai aktiviti persatuan mahasiswa atau kedutaan, saya perlu hadir kuliah, praktikum, ada ujian mahupun menjalankan tugas ‘on call’….sabar… ada waktu lain kita boleh ikut serta juga.

Sewaktu rakan-rakan lain sudah bercuti semester dan pulang bertemu keluarga di Malaysia, siswa Fakulti Kedoktoran (FK) masih harus kuliah dan menjalankan berbagai rutin di rumah sakit dan hanya selesai peperiksaan tiga minggu atau sebulan kemudian…..sabar….kita tetap boleh bercuti walaupun pendek sedikit jangkamasanya.
Alam pekerjaan, memerlukan tahap kesabaran yang lebih tinggi kerana bukan sahaja kita perlu berperang dengan diri sendiri tetapi perlu bersabar dengan kerenah orang lain.

Ramai dikalangan pesakit yang gemar berlagak bijak pandai, tidak mendengar nasihat, tidak mengikut arahan rawatan dan follow up yang betul kemudiannya menyalahkan pihak doktor sekiranya rawatan dirasakan tidak berkesan….sabar…berilah penjelasan dan nasihat lagi sekali dengan lembut, mereka sebenarnya suka perhatian yang anda berikan.

Ada yang merasakan diri mereka lebih hebat dan mampu bertindak sebagai doktor, mengarahkan doktor memberi ubat mengikut kehendak mereka… “beri saya antibiotik yang power, kalau tak, sure lambat baik!” sedangkan hanya mengalami common cold……sabar… berilah penjelasan bahawa tidak semua penyakit perlu diubati dengan antibiotik dan pengambilan antibiotik yang tidak betul malah boleh menimbulkan masalah resitensi.

Ada pesakit yang tidak sabar menunggu giliran dengan membuat ‘remark’ seperti “doktor buat apa kat dalam lama sangat?” sedangkan doktor tidak menang tangan menjalankan prosedur dan menghadapi berbagai situasi….sabar…. minta maaf kepada pesakit bila tiba gilirannya nanti, jangan ‘confront’ pesakit itu. Anggap sahaja pesakit itu sangat menyenangi anda dan tidak sabar bertemu anda.

Ada pesakit yang akan bersalin tidak tahan sakit dan mendesak dilakukan pembedahan sahaja….sabar…tenangkan pesakit dan jelaskan perlahan-lahan risiko pembedahan.
Ada pesakit yang akan mendapat cuti bersalin 3 bulan masih mahu cuti tambahan sebelum bersalin mendesak diberi cuti sakit tiga hari dengan alasan ‘tidak larat’….sabar… jelaskan bahawa ‘tidak larat’ itu proses semulajadi mengandung dan bersalin yang hanya dirasakan oleh ibu-ibu yang mampu mengandung dan bersalin, mungkin tidak dapat dirasakan oleh setengah wanita lain, jadi, hayati romantiknya menjadi ibu.

Ada pesakit yang hamil secara tidak terancang dan tidak mahu menerima kandungan itu kerana faktor umur atau anak yang ada masih kecil dan mendesak diberikan ubat atau dilakukan pengguguran…sabar… berikan nasihat tentang risiko pengguguran, beritahu juga bahawa dia telah terpilih untuk menerima anugerah itu, ramai wanita masa kini terpaksa menghabiskan ribuan ringgit untuk rawatan kesuburan kerana tidak berjaya hamil. Ingatkan juga bahawa anak dalam kandungan itu mungkin menjadi anak paling sholeh antara yang ada yang akan mendoakan ibunya satu ketika nanti.

Ada pesakit yang tidak sakit tetapi mendesak diberikan cuti sakit dengan alasan memang ada peruntukan MC 14 hari setahun….sabar…. jelaskan dengan baik, MC dikeluarkan hanya kepada yang sakit. Ini biasa dilakukan oleh kakitangan awam…. Maaf!!... staff swasta selalunya lebih berhati-hati kerana syarikat swasta lazimnya akan menghitung MC dan cuti secara terperinci dalam pemberian insentif dan bonus. Mereka pasti tidak mahu bonus terjejas.

Ada yang datang meminta dikeluarkan MC untuk hari sebelumnya atau kadang kadang dua hari sebelumnya kerana sakit berat sehingga tidak dapat datang untuk rawatan pada hari tersebut…sabar… jelaskan dengan baik, tiada istilah ‘back date MC’ kerana isu penyalahgunaan. Berhati-hati, dia mungkin tidak sakit tetapi telah pergi merompak bank pada hari diakuinya sakit itu….

Ada juga yang datang memohon MC dengan mengatakan disuruh ‘boss’ berbuat demikian kerana cuti tahunan tidak boleh diluluskan oleh ‘boss’ tersebut….sabar… jelaskan dengan baik bahawa MC hanya untuk yang benar-benar sakit dan melanggar etika memperakukan perkara tidak benar. Galakkan supaya berbincang dan cari penyelesaian dengan ‘boss’nya dan tidak membebankan tanggungjawab pada doktor.

Kebanyakan isu disini berkaitan dengan keadaan di klinik outpatient, di wad agak berbeza sedikit. Anda mungkin sedang memasang drip pesakit apabila anda dipanggil untuk menjawab telefon dari atasan anda, sedang anda bergegas mungkin ada keluarga pesakit menahan anda kerana si pesakit mengadu sakit perut yang kuat, apabila anda berhenti untuk memeriksa dan menenangkannya, atasan anda telah menamatkan panggilan telefon, sedang anda berusaha mendapatkan atasan anda kembali, pesakit tadi sudah muntah darah dengan banyaknya dan pengsan, anda terpaksa berlari pergi memberi bantuan kecemasan dan……….seterusnya…….

Banyakkan BERSABAR……….anda akan berjaya melepasi tekanan tekanan tersebut, Insya Allah.

Dr Zalilah Manan, 28 Oktober 2011

Tuesday 25 October 2011

Bandung dan ITB Berwajah Baru

[Dewan yg menepati ketika dulu sebuah padang bola]

Biasanya kalau aku ke Bandung jarang sekali menjengok Institut Teknologi Bandung (ITB) dalam tempoh waktu yang agak lama. Kali ini pada 22 hingga 24 Oktober 2011, aku berada cukup lama di ITB iaitu selama tiga (3) hari penuh. Rata-rata seluruh kawasan yang ketika dulu ditempati padang bola kini berubah wajah dengan bangunan-bangunan dewan kuliah memenuhinya.

Kalau kita berjalan dari pintu depan ITB berhadapan dengan Mesjid Salman hinggalah ke gerbang belakang menghadap ke Babakan Siliwangi di kiri kanan sudah dipenuhi dengan bangunan-bangunan fakultas, dewan kuliah dan bulatan air mancur yang menambah seri lanskap ITB.

Ketika menghadiri ICREM5 (International Conference on Research in Education and Mathematics 5) aku berulang-alik dari Gerlong (Gegerkalong) ke ITB dengan angkot (singkatan bagi Angkutan Kota) dengan karcis berharga tiga ribu (3,000) rupiah. Kiri kanan jalan menuju ITB sudah dipenuhi dengan rumah dan bangunan sehingga babakan Siliwangi yang dulunya masih ada sawah dan boleh dilihat dari atas keadaan sawah yang menghijau, kini sudah dipenuhi rumah-rumah yang berjejer memenuhi lembah yang dulunya cantik itu.

Gadis-gadis Bandung masih cantik seperti dulu, malah ada yang lebih cantik. Ketika berada di angkot aku sesekali menjeling mereka. Nasib baik isteri tidak ikut sama, kalau tidak pahaku pasti akan terasa sakitnya dicubit sayang. Susuk tubuh mereka masih kecil dan kurus dan jarang ada yang gendut tidak seperti di Malaysia yang dipenuhi dengan insan-insan gendut sepertiku. Namun, kini aku sedang sangat berusaha untuk menguruskan badan akibat ngeri dengan akibat-akibat gejala obes.

[Aula Barat ITB masih utuh]

Namun di sebalik semua perubahan yang berlaku di ITB, Aula Barat sebuah dewan yang pernah “memapram”ku masih seperti yang dulu. Kayu-kayu strukturnya masih sempurna walau pun telah menjangkau lebih daripada 70 tahun umurnya. Mungkin pada masa Bung Karno menjadi mahasiswa ITB, Aula Barat sudah pun ada. Hampir semua pembentangan ICREM5 berlaku di Aula Barat, juga di Aula Timur. Sesi selaris yang memuat lebih daripada 180 kertas persidangan berlaku di Bangunan Oktagon dan beberapa dewan kuliah berhampiran dengannya. Bangunan berbentuk segi lapan itu berada di bawah Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (MIPA), yang dulu pernah didekani Prof Dr Ahmaloka yang kini Rektor ITB. Pengendalian ICREM5 yang dihadiri lebih daripada 300 pembentang dari seluruh dunia berjalan lancar dan sempurna.

[Foto Bangunan Oktagon MIPA ITB]

Malam kedua kami dihiburkan dengan “cultural show” Indonesia yang dipenuhi dengan nyanyian dan tarian. Kami diajar untuk bermain “angklong” sejenis alat music Indonesia yang sangat terkenal itu. Walau pun pada dasarnya bunyi “Angklong” hampir sama, namun apabila digetarkan pada waktu yang berbeza ianya menghasilkan music yang sangat syahdu. Alunan irama yang mendayu-dayu akan terdengar, boleh memainkan lagu “Au lang sang ….” Sebuah lagu selamat tinggal yang selalu kami nyanyikan ketika di ITB, terutama ketika diploco semasa menjalani “mapram” (masa perkenalan mahasiswa).

Mesjid Salman masih seperti dulu, tetap dipenuhi mahasiswa dan mahasiswi yang bersolat fardhu, kawasannya kini agak luas dan teratur. Di kawasan depannya yang berhadapan dengan kampus ITB masih juga dipenuhi dengan ratusan manusia yang berjualan. Ada “andong”, sejenis kereta kuda yang boleh memuat empat orang untuk bersiar-siar sekitar Bandung. Beberapa teman ICREM5 turut menggunakan “Andong” bersiar-siar sekitar Bandung sebagai pengalaman manis untuk dibawa pulang.

[Foto Trans Studio di GatSu (Jln Gatot Subroto)]

Dalam siri berikut saya akan ceritakan peristiwa melawat “Trans Studio” yang baru empat bulan berdiri di Bandung. Konsep “Trans Studio” hampir sama dengan “Dunia Fantasi” di Jakarta. Satu tarikan baru buat orang-orang Malaysia ke Bandung.

Ismail Abdullah, 26 Okt 2011

Kisah Selepas Salemba – Siri 1 – Dr Zalilah Abd Manan

Tips Bidang Kedoktoran
Kerinduan itu makin menebal. Rindu untuk menulis lagi walau tulisanku tidak seindah mana. Bernostalgia dan berkongsi cerita membuatkanku rasa semakin remaja.

Kali ini, ingin dikongsikan sedikit cerita dan mungkin semacam tips terutama bagi adik-adik atau anak-anak yang baru lulus dari FK. Pembaca dari bidang lain juga dialu-alukan, mungkin nanti boleh berkongsi tulisan ini dengan adik-adik atau anak-anak yang berminat menceburi bidang kedokteran.

Pulang ke Malaysia dengan tambahan ilmu, pengalaman dan segulung ijazah, bagiku peribadi adalah sesuatu yang lama dinantikan. Lebih-lebih lagi kepulanganku membawa kepada penjimatan ratusan ringgit sebulan biaya bil talipon akibat berpacaran jarak jauh, satu pembaziran yang telah tidak terelakkan. Semoga dikalangan adik-adik tiada yang sepertiku.

Sekembalinya ke Malaysia, melaporkan diri kepada pihak pemberi biasiswa seharusnya diberi keutamaan. Setelah itu mendaftarlah di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk mendapatkan penempatan. Penempatan biasanya tidak perlu menunggu lama kerana banyak kekosongan. Bila mahu bermula tergantung sepenuhnya kepada anda sendiri.

Lulusan FK wajib menjalani program ‘housemanship’. Dalam memilih penempatan, pilihlah dengan rasional. Seandainya punya cita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, pilihlah ‘Teaching Hospital’ yang besar seperti HKL supaya mendapat pendedahan awal dan mengenali warga kerja yang terlibat dengan program spesialis. Biasanya hospital yang besar mengambil bilangan ‘houseman’ yang lebih ramai, jadi kitaran ‘on call’ akan lebih panjang. Kalau berada dalam kumpulan kecil, kemungkinan ‘on call’ selang sehari atau dua hari menjadi lebih tinggi.
‘Setback’ berada dalam kumpulan besar pula adalah mungkin mempunyai kurang peluang dalam pengendalian kes kes tertentu. Berada dalam kumpulan kecil mungkin memberi sepenuh peluang melihat dan mengendalikan pesakit maka lebih banyak pengalaman yang dapat ditimba.

“Getting married”….satu persoalan yang dapat menimbulkan dilemma. Seandainya boleh ditunda, tunggulah sehingga selesai ‘housemanship’…tapi sekarang 2 tahun… jika tak boleh tunggu lagi, berkahwinlah sebelum ‘housemanship’ bermula. Jika sudah bermula, mungkin sehari sebelum upacara nikah pun anda akan terpaksa ‘on call’ kerana lazimnya susah untuk dapat kesempatan bercuti walau ada peruntukan. Jika sudah berkeluarga, yang wanita terutamanya, mestilah pandai-pandai ‘planning’ kerana sekiranya anda hamil, anda mungkin akan merasakan lebih tekanan semasa menjalani ‘housemanship’, itu sudah tentunya tidak baik bagi karier dan kandungan anda.
Senario sekarang mungkin sedikit berbeza kerana sudah ada banyak pihak yang prihatin tentang tekanan yang dialami terutama doktor pelatih. Waktu dulu, begitu ekstrimnya sehingga ada yang berkata, nasib seekor anak kucingpun lebih baik dari doktor pelatih. Kenapa?? Tiada siapa yang peduli samada doktor pelatih makan atau tidak, tidur atau tidak, sakit atau tidak. Semua pihak hanya tahu tugas doktor pelatih mesti selesai tepat pada masanya tanpa mengira berapa banyak perkara yang perlu diberi perhatian oleh seseorang itu. Berbanding anak kucing yang mungkin diberi minum susu dan disediakan kotak untuknya tidur.

Saya sendiri mengalami keguguran dan melahirkan bayi tidak cukup bulan semasa menjalani latihan doktor siswazah @ housemanship. Bayi saya lahir pada usia kandungan 31 minggu selepas saya mengalami pecah ketuban dan kontraksi semasa ‘on call’ yang sangat-sangat sibuk di unit A & E (Accident Emergency). Dan semasa dirawat di hospital tempat saya bekerja, setiap hari waktu lawatan consultan, saya tidak putus-putus diingatkan bahawa “houseman shouldn’t get married, houseman shouldn’t get pregnant.” Perkara itu mungkin ada benarnya.

Semasa bertugas, walau di unit mana anda bekerja, bertugaslah dengan penuh dedikasi. Carilah pengalaman sebanyak mungkin. Timbalah ilmu sebaik mungkin. Jangan takut mencuba, jangan malu bertanya. Hormatilah pembimbing dan guru-guru anda. Bekerjasamalah dengan rakan-rakan sejawat anda. Berbaiklah dengan paramedik dan jururawat yang bekerja bersama anda, setengah dari mereka punya berbagai pengalaman dan kemahiran yang kadangkala perlu kita selami. Gunakan sebaik baiknya waktu anda untuk terus belajar dan meningkatkan keterampilan anda. Apabila selesai latihan siswazah dan anda ditempatkan di hospital hospital daerah anda akan terpaksa membuat segala sesuatu keputusan sendiri. Sangat penting untuk anda mempersiapkan diri dan mendapatkan segala ilmu yang boleh didapatkan semasa latihan siswazah.

Selesai ‘housemanship’ anda mungkin akan dikekalkan di tempat sama, atau ditempatkan di merata hospital daerah atau di klinik-klinik kesihatan untuk khidmat wajib anda. Mungkin pada masa itu anda sudah lebih mengenal dunia kedokteran sebenar. Jika berminat melanjutkan pelajaran subjek klinikal, teruskan mengejar peluang itu dan mohonlah untuk penempatan di ‘teaching atau research hospital’, jika berminat dengan pentadbiran, intailah peluang dalam bidang ‘public health’, satu waktu nanti anda mungkin menjadi Pengarah hospital, Pengarah Kesihatan atau Menteri Kesihatan. Jika minat untuk menjadi usahawan, intailah peluang membuka klinik sendiri atau kajilah selok beloknya dulu dengan bekerja di fasiliti swasta. Tapi bagi yang ada kontrak biasiswa, anda perlu berkhidmat sesuai kontrak yang telah anda tandatangani. Bergeraklah dengan cepat sesuai dengan minat dan keinginan anda.

Semoga apa yang saya kongsikan dapat memberi serba sedikit gambaran tentang ‘The real life of a young doctor’, kalau dah jadi konsultan, the story will be different. Apapun, pertahankanlah kemuliaan profesi ini dengan sentiasa meningkatkan ilmu, bekerja penuh tanggungjawab dan ikhlas selaras tuntutan agama dan etika kedokteran.

Dr Zalilah Manan, 25 Okt 2011

Tuesday 27 September 2011

Kisah-Kisah Selepas Jakarta – Siri 2 – Nor Aizan Ab Halim

Menukar masalah menjadi cabaran

Sudah hampir setengah tahun aku tidak praktek kaunseling kepada klienku. Hati dan jiwa sudah terasa lemau, lemah tidak bermaya. Memang sangat membantu jika dapat aku mengadakan sesi kaunseling dengan klien. Membantu aku muhasabah diri, bersyukur, dan mempunyai semangat yang kuat untuk menghadapi apa juga cabaran dan halangan yang datang dalam kehidupan. Kekuatan itu datang hasil dari mendengar, menilai dan memberi saranan kepada klienku. Seolah-olah aku sendiri yang melalui semua itu, empati. Baru terasa betapa bertuahnya aku berbanding dengan klien-klien yang datang kepadaku dengan segala masalah dan permasalahan mereka.

Kesibukan yang melanda. Mempersiapkan anak yang akan menghadapi peperiksaan besar. Menyiapkan diri untuk menghadapi pelajar-pelajar yang baru masuk. Meningkatkan pendapatan sebagai langkah persediaan untuk membantu mak merawat penyakit `kanser ususnya’ dan berbagai-bagai kesibukan yang lain. Akhirnya terlalai dari melakukan kewajipan sosialku. Tidak mengapa kata kawan baikku. Apa yang sedang aku lakukan sekarang juga lebih penting untuk menunaikan tanggung jawab yang diamanahkan oleh Allah kepadaku. Insyallah.

Tahun 2003 aku mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian ‘masters’ dalam bidang psikologi. Kawan-kawan sibuk bertanya untuk apa melanjutkan pelajaran sedangkan aku sudah memiliki segala-galanya, kerjaya, keluarga, suami yang baik, anak-anak yang comel dan sempurna serta harta yang mencukupi dengan usaha dan usia kami ketika itu. Dalam zon selesalah katakan.

Kenapa perlu peningkan kepala, otak dan badan yang semakin montel. Kan penat ‘part time study’, berkejar-kejar nak pergi kuliah selepas kerja, atau lari-lari dari tempat kerja nak ke kampus, cuti separuh hari, atau cuti jam. Duit pula mengalir macam air, untuk yuran, minyak kereta, servis kereta, buku-buku, fotostat dan berbagai-bagai keperluan yang lain.

Macam-macam dilalui. Huh...memang penat dan itulah kenyataannya. Pernah kemalangan di lampu isyarat, mata celik tapi hati dan otak ‘tidur’ kereta bergerak ke depan tak sempat tarik brek tangan, sudah terlelap. Akhirnya kena bayar kerana melanggar kereta orang.

Belum lagi kes terpaksa berdepan dengan bos kerana ada yang menuduh curi tulang, sengaja ambil kesempatan untuk lari dari tugas. Entahlah ada yang sampai hati tuduh macam tu, kawan sebangsalah tu kalau bercakap berasaskan iri hati atau cemburu, agaknyalah. Lebih baik lagi kawan non-Melayuku, “Zan you go on, I will relief your class, don’t worry.” Itulah kata-katanya setiap kali aku mengeluh kalau terpaksa meninggalkan kelas untuk ke kuliah atau tutorial ganti, yang ditentukan masanya oleh pensyarah. Keadaan ini biasanya akan bertembung dengan waktu aku mengajar.

Akhirnya aku bersikap proaktif, meminta relief kelas setiap hari ketika aku tiada kuliah atau tiada kelas, untuk mengelak aku dituduh curi tulang dan menebus masa yang digunakan untuk studi. Persepsi bos mula berubah. Tanggapan negatif mula bertukar jadi positif. Pelepasan mulai mudah diperoleh, walaupun kadang-kadang perit, maklum berkaitan dengan meninggalkan pelajar yang ramai, terpaksa diambilalih oleh orang lain. Rasa bersalah juga. Hanya doa, orang yang mempermudahkan orang lain akan berpuluh kali ganda dipermudahkan Allah untuk mereka. Mudah-mudahan, Amin.

Cabaran yang sangat hebat untuk aku tempuhi dalam tempoh menyiapkan sarjanaku. Tapi alhamdulillah berkat ketabahan, kesabaran dan sokongan kawan-kawan baik serta doa ibubapa, akhirnya dapat juga aku selesaikan tanpa perlu aku mengambil cuti belajar atau menangguhkan kuliah beberapa semester macam orang lain.

Mengambil keputusan melanjutkan pengajian dalam bidang psikologi, sangat lari dari bidang asalku, adalah satu usaha aku untuk mengatasi masalah dan konflik yang sangat hebat aku lalui ketika itu. Tiada siapa yang tahu. Hanya aku menelan kepahitan itu seorang, tiada tempat mengadu, hanya Allah satu-satunya yang Maha Mengetahui dan Maha Mendengar luahan hatiku.

Ketika jiwa sudah lemah dan hampir patah hati lagi dalam hidup ini, tiba-tiba datang bisikan untuk meneruskan pengajianku dalan bidang psikologi, dengan harapan untuk mengubat hati dan jiwa sendiri, bukan untuk menolong orang lain atau ada tujuan tertentu dalam kerjaya. Tidak. Aku hanya mahu lari dari masalahku, mungkin. Alhamdulillah, berhasil juga untuk mengubat diri, malah dapat juga membantu orang lain yang bermasalah.

Setelah tamat pengajian sarjana psikologi kaunseling tahun 2006, malah sebelum lulus lagi sudah mengambil kes secara rela dan dirujuk. Bukan sedikit kes klien yang telah kuambil, kes secara percuma, kes kerja kebajikan di pejabat agama atau kes berbayar untuk klien VIP atau dirujuk. Macam-macam masalah yang timbul dalam hidup ini, yang kadang-kadang tidak masuk akal rasional apa yang mereka lalui atau apa yang mereka lakukan. Subhanallah, mahakuasa Tuhan yang menjadikan manusia pelbagai bentuk dan ragamnya. Kadang-kadang sebijak-bijak dan sehebat manapun manusia itu, tanpa diduga akan melakukan sesuatu yang diluar jangkaan, apabila nafsu syaitan mula bertiup ke dalam roh atau jiwa manusia.

Klienku dari berbagai golongan status sosial-ekonomi. Taraf pendidikan mereka dari buta huruf berniaga pasar malam sampailah ke profesor, datuk, datin, doktor, peguam, malah peguam syarie sendiri pernah aku tangani masalah mereka. Mereka juga dari berbagai umur, dari empat tahun hinggalah 80 tahun lebih. Keadaan ekonomi mereka juga pelbagai, ada yang langsung tiada pendapatan dalam kehidupan sehari-hari hinggalah terpaksa bekerja melacurkan diri untuk menyara kehidupan dan anak-anak. Ada pula yang berpendapatan berpuluh-ribu sebulan tetapi terlalu berkira untuk memberi nafkah anak-anak sehingga si-ibu terpaksa merayu atau memfailkan kes tuntutan nafkah.

Ternyata, masalah akan menimpa sesiapa sahaja, tanpa perlu kita mendabik dada mengatakan aku orang hebat, boleh berfikir dengan waras dan membezakan baik dan buruk dalam kehidupan. Apabila hati diwarnai marah, dendam, iri hati, benci, kecil hati dan pelbagai nilai negatif yang lain, ternyatalah pendidikan tinggi, kerjaya bagus dan kecantikan rupa paras tidak lagi dapat mengawal diri dari melakukan tindakan yang negatif pula.

Seorang kawan pernah bertanya, adakah sebagai kaunselor, aku adalah seorang yang hebat dan tiada masalah. Aku hanya tersenyum. Sesungguhnya aku hanya manusia biasa yang punya banyak kelemahan. Makhluk Allah yang lemah juga. Hanyalah aku ada ilmu dalam menangani setiap masalah yang datang supaya keadaan jadi seperti normal, untuk diri sendiri dan membantu orang lain meneutralkan keadaan yang tidak harmoni dalam diri mereka. Ada kalanya aku juga perlukan orang lain untuk mendengar masalah aku sebagai kaunselor.

Jadi sudah selesaikah masalah dan konflik dalam diriku yang bergelar kaunselor. Tidak. Sebagai kaunselor, aku selalu menegaskan kepada diri sendiri dan juga klienku, masalah itu akan jadi masalah kalau kita menganggap ianya adalah masalah. Tapi kalau kita anggap ia sebagai satu cabaran atau sesuatu yang perlu dihadapi, kita tidak akan lari tetapi akan mengatasinya dengan cara yang berhemah, supaya kita akan tetap boleh senyum dan ketawa dengan gembira.

Hanya kita sendiri yang boleh mengatasi masalah kita, membuatkan diri kita selalu gembira dan menciptakan kebahagiaan dan kejayaan dalam hidup kita. Jangan biarkan orang lain membuatkan kita sedih kerana orang yang betul-betul ikhlas adalah diri kita sendiri. Kita tidak boleh paksa orang lain ikut kehendak kita. Kalau kita setuju, kita kena ikut mereka. Kalau kita tidak setuju kita kena lepaskan diri dari mereka itu, supaya kita akan boleh terus senyum gembira dan bahagia dalam hidup, Kalau kita gembira dan bahagia, orang-orang di sekeliling kita juga akan ikut gembira dan bahagia. Hidup ini akan jadi sangat indah hingga ke hujung usia. Insyallah.

Hiasi selalu diri dengan senyuman kerana ia akan membuatka kita bahagia dan orang-orang di sekeliling juga gembira dan bahagia. Hati bersih, muka ceria, hidup gembira dan bahagia, Insyallah.

Memberilah kalau kita mampu kerana setiap pemberian dengan keikhlasan, janji Allah ganjaran lebih besar akan menyusul.

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 27 Sept 2011.

Wednesday 14 September 2011

Kisah Selepas UI Depok – Siri 1 – Samsul Kamil Osman

Tenis Dunia Baru kami

Kerancakkan kejohanan tenis US Open 2011 telah menuju kemuncaknya. Rafael Nadal dengan gaya permainan luar biasanya telah menafikan kemaraan Andy Murray untuk mara ke final. Novak Djokovic dengan pertarungan yang penuh debaran telah berhasil mengenepikan kebangkitan kembali Roger Federer, bintang lagenda tenis yang masih menampilkan kehebatannya sehingga ke hari ini. Sedang aku menulis coretan ini, pertarungan dua bintang tenis wanita Serena Williams dan Caroline Wozniacki yang berlangsung untuk mencari satu lagi slot di final wanita, bakal berdepan dengan Samantha Stosur yang telah menafikan kebangkitan Angelique Kerber di semi final sebelumnya.

“Tennis”…, sukan yang memberi banyak kenangan manis dan terindah dalam keluarga Shamida. Tidak berlebihan jika aku katakan di sini, “Tenis dan Shamida” itu adalah dua perkataan yang tidak dapat dipisahkan. “Shamida itu tenis dan tenis itu adalah Shamida”. Memang kedengarannya seperti satu ungkapan yang tidak masuk akal dan melucukan, tapi itulah hakikatnya. Tenis telah membawa banyak perubahan dalam keluarga Shamida. Tenis telah banyak memberi pengajaran dan tidak kurang juga pelbagai pengalaman yang sangat bermakna mematangkan anak-anak Shamida dari seawal usia kecil mereka sehinggalah sekarang, setelah mereka telah mencecah usia remaja dan semakin hampir menuju dewasa.

Walaupun anak-anak Shamida tidak sehebat Sarena Williams atau juga kakaknya Venus Willams dari “Williams Family’…., tidak juga sehebat Roger Federer apa lagi jauh sekali dibandingkan dengan Rafeal Nadal atau saja Novak Djokovic. Tapi paling tidak Mohd Alieff Shamida, Mohamad Arieff Shamida dan Nur Aniess Shamida pernah mewarnai kejohanan-kejohanan tenis peringkat junior yang pernah diadakan di tanah air kita bermula dari tahun 2002 sehinggalah ke hari ini. Bermula dari anak kampong, yang datangnya dari daerah di Hulu Baling. Kemudian mencuba nasib ingin belajar bermain di bandar-bandar seperti di Alor Setar dan Sungai Petani…. Akhir berjaya juga menjelajah sehingga ke seluruh pelusuk tanah air, bermula dari Kangar, Perlis sampailah ke Kuching, Sarawak. Pada awal penglibatan hanya menjadi anak-anak belasahan, tapi akhir dapat juga muncul antara pemain yang sering digeruni oleh lawan apabila turun ke gelanggang permainan.

Sejarah bermulanya mengenal permainan tenis bagi keluarga Shamida terjadi apabila aku sebagai ayah mereka, berjinak untuk belajar bermain pada tahun 2000. Berlaku secara kebetulan apabila aku memilih untuk ikut teman-teman mengambil kursus pilihan permainan tenis sebagai pelengkap mata kuliah gerak kerja ko-kurikulum di Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim, Sungai Petani (MPSAH). Aku ketika itu sedang mengikuti pengajian Kursus Diploma Lepasan Ijazah untuk melayakkan aku menjadi seorang guru kemudian kelak. Tenis aku pilih kerana tidak punya pilihan, teman-temanku semuanya sudah lama berjinak dengan sukan ini dan menurut mereka tenis sukan yang elit. Aku turut saja walaupun ketika itu jangankan bermain, raket tenis pun aku tak punya sama sekali.

Setiap petang, bila tiba waktu aktiviti ko-kurikulum, kami diwajibkan turun ke gelanggang. Aku mula berjinak turun ke court, apa lagi setelah dihadiahkan oleh isteri tercinta raket tenis yang terlihat antik. Raket hadiah dari isteriku itu memang benar-benar antik, dipilih dalam kotak lelongan di kedai sukan kerana ketika itu harganya murah. Menurut tuan kedai, raket itu keluaran tahun tahun awal 70-an, mungkin sezaman dengan lagenda tenis John McEnroe. Raket itu masih aku simpan sebagai kenangan. Kali pertama turun bermain, layakku bukan memukul bola tapi lebih kepada pengutip bola di gelanggang. Tidak ada teman-teman yang ingin menjadikan aku sparing partner kerana memang aku tak bisa sama sekali memukul bola lagi. Jika boleh sekalipun, bola tenis yang aku pukul melepasi pagar gelanggang saja nanti.

Tapi aku tidak pernah berputus asa, dari hari ke hari aku mencuba dan terus mencuba lagi. Sehinggalah akhirnya aku dapat mempelajari cara bermain dan mampu untuk membuat hantaran bola dengan baik sekali. Tiada lagi bola tenis yang aku pukul melepasi pagar gelanggang kini, aku sudah mula mendapat pujian rakan dan teman bermain. Memang betul kata pepatah Melayu, “jika ada kemahuan, di situ pasti ada jalan,”. Sejak itu aku mula tertarik dengan sukan ini dan menanam iltizam, permainan ini akan aku turunkan kepada anak-anakku suatu hari nanti. Tidak mustahil anak-anakku akan berjaya nanti, apalagi mereka masih muda dan tentu saja cepat mempelajari setiap apa yang diajarkan nanti. Seperti juga pepatah Melayu yang satu ini, “melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Aku yang sudah berumur saja masih cepat dapat menguasai permainan ini, apalagi mereka yang masih muda dan aktif sekali ketika itu.

Selepas menamatkan pengajianku di MPSAH dan layak menjadi guru di sekolah, tepatnya pada bulan Januari 2001 aku telah ditugaskan mengajar di daerah Hulu Perak, di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Hulu. Aku dan isteri memilih untuk menetap di Baling, apa lagi ketika itu isteriku memang sudah mula mengajar di Sekolah Model Khas Baling sejak dari tahun 2000. Memilih tinggal di Baling pada awalnya bukanlah satu pilihan yang mengembirakan hati. Apa lagi saat itu, Baling merupakan sebuah daerah kecil yang belum punya banyak kemudahan dan terasa sangat jauh terpencil serta masih sunyi suasananya. Dibandingkan dengan suasana sebelumnya, ketika kami tinggal di daerah kota dan bandar-bandar besar seperti Ipoh, Pulau Pinang dan paling tidak sebelumnya di Sungai Petani, memang Baling jauh berbeza. Di kota-kota tidaklah sunyi seperti di sini, ada saja tempat hiburan untuk dikunjungi bagi menghiburkan hati anak-anak kecil kami. Tapi di Baling memang sangat sepi, tempat hiburan jauh sekali malah tak ada sama sekali. Kalaupun ada cuma tempat-tempat rekreaksi seperti air terjun Lata Bayu, Lata Mengkuang, Lata Bukit Hijau atau juga Kolam Air Panas di Ulu Legong.

Pada awalnya ketika kami tinggal di sini, rasanya sangat sulit untuk beradaptasi. Apa lagi bila memikirkan masa depan anak-anak kami. Rasa takut mula menghantui diri, anak-anak takutnya nanti tak pandai nak menyesuaikan diri. Kata orang tinggal di desa menyebabkan mental anak-anak tidak berkembang baik dan akan merasa rendah diri. Tapi kami tidak punya banyak pilihan lagi, semuanya harus dihadapi dengan cekal dan berani. Sesuatu harus dilakukan supaya anggapan orang dapat dinafi. Tinggal di kawasan kampong bukan bermakna kita harus menyerah diri, takdir sebenarnya masih boleh diubah dengan berdikari. Asal saja kita mahu berikhtiar dan berusaha membuat perubahan dalam diri. InsyaAllah setiap sesuatu itu akan ada hikmahnya sendiri.

Kami memilih untuk tinggal di kuartes guru Sekolah Model Khas Baling, kebetulan isteriku ditempatkan mengajar di sini. Sekolah ini memang sangat istimewa kerana sekolah rendah dan menengah ditempatkan sekali dalam satu pentadbiran yang sama pula lagi. Sekolah ini ketika itu dianggap sebagai sekolah untuk memberi peluang dan ruang belajar kepada anak-anak dari kalangan rakyat berpendapatan rendah dan tergolong miskin, tapi mempunyai potensi dalam pelajaran dan sukan. Sekolah bantuan penuh kerajaan dengan semua pelajarnya ditempatkan di asrama dan dengan kadar bayaran yuran yang sangat rendah sekali. Seingat aku yuran asrama yang dikenakan ketika itu cuma RM10.00 sebulan bagi setiap pelajar. Malah hampir semua pelajar sekolah menengah pula akan dibekalkan juga bantuan biasiswa. Pelajarnya pula dipilih dari seawal tahun 4 sehinggalah ke tingkatan 5.

Hebatnya, sekolah ini mempunyai kemudahan sukan yang setaraf dengan sekolah Berasrama Penuh di bandar-bandar. Antara kemudahan yang canggih yang dimiliki ialah 3 gelanggang tenis dalam keadaannya memang sangat baik sekali. Tapi sayang tidak dilengkapkan dengan net menyebabkan tiada sesiapapun yang dapat bermain dan memanfaatkan gelanggang sebaik ini. Aku melihat itu merupakan satu pembaziran jika terus dibiarkan begitu saja, lalu aku mengambil peluang untuk melatih anak-anak kami di sini. Aku menyatakan hasrat hatiku kepada isteri supaya memohon kepada pengetua mendapatkan kebenaran melatih anak-anak sekolah yang berminat dan sekaligus dapat melatih anak-anak kami juga nanti. Hasrat kami itu kemudian diperkenankan oleh pengetua sekolah, dan bermulalah episod pencarian bakat dan hasrat untuk melatih anak-anakku tertunai juga akhirnya.

Tapi semua itu tidak semudah seperti yang dijangkakan. Halangan tetap saja ada, apa lagi ketika itu yang ada cuma gelangang semata-mata. Kemudahan dan peralatan sebenar masih tak punya, termasuklah net yang menjadi hal paling utama. Untuk membeli net memang saat itu perlu belanja yang besar. Apa lagi kami harus membeli keperluan utama lain seperti raket dan juga bola. Tuan Pengetua awal-awal lagi telah menyatakan sekolah tidak punya peruntukan untuk berbelanja, sekolah baru wang masih sedikit dan tidak dapat menampung biaya.

Sebagai langkah agar usaha melahirkan bakat pemain tenis tidak berkubur begitu saja, aku dan isteri mula berikhtiar mencari jalan keluar. Pertama memikirkan bagaimana mendapatkan net agar permainan dan latihan dapat segera dimulakan tanpa perlu mengeluar biaya yang besar. Kedua mendapatkan raket untuk kegunaan pemain, kerana ketika itu harganya memang sangat mahal dan tak mampu dibeli oleh pelajar, apa lagi rata-rata mereka anak-anak miskin dari kampong yang tak punya.

Tapi ternyata anak-anak ini punya idea yang cukup hebat. Mungkin saja mereka anak kampong yang sering gunakan jaringan untuk menangkap ikan di sungai, atau juga menjerat burung di bendang. Aku masih ingat cadangan dari pelajar yang bernama Asrul dan Azhar, memang cukup baik sebagai jalan keluar.

“Sir, apa kata kita gunakan jaring berwarna hijau yang dijual di kedai hardware untuk dijadikan net. Jaring yang biasanya dibuat pukat menjerat burung atau ikan.” Cadangan dari Azhar memberi jalan keluar.

“Tak ada masalah Sir, saya, Shamimi, Khairul dan kawan-kawan yang lain akan bantu pasangkan tali dan kemudian kita ikat kat tiang yang dah memang ada di court tenis tu,” Asrul pula menyampuk menguatkan cadangan Azhar sebelumnya.

“Supaya nampak jelas, di atas net tu nanti kita staplerkan surat kabar, jadi nampak terang sikit,” giliran Shamimi pula memberi saran yang dianggap lucu oleh kawan-kawan yang lain sehingga disambut dengan gelak ketawa rakan-rakan mempersendakan cadangan yang dikemukakan.

Akhirnya atas idea dan cadangan pelajar-pelajar yang berminat menjadi pelatih, aku dan isteri cuba mengadaptasi idea yang diberi. Kami berusaha mendapatkan jaring dengan membeli sediri di kedai. Ternyata cadangan mereka yang awalnya seperti lucu itu ada benarnya juga. Net yang menjadi masalah sebelumnya dapat kami atasi segera, walaupun nampak jelek tapi yang penting boleh dimanfaatkan. Apa yang paling penting anak-anak dapat bermain segera, minat pelajar-pelajar tak harus disia-siakan begitu saja. Siapa tahu di antara mereka akan lahir sebagai jaguh tenis nantinya, ataupun paling tidak akan membuka mata bahawa anak kampong juga boleh menjadi juara.

Bermula dari peristiwa itu maka sejarah penglibatan keluarga Shamida dalam sukan tenis pun membuka tirainya. Walaupun pada awal-awalnya hanya menjadi bahan ketawa rakan-rakan guru dan pelajar-pelajar yang hairan melihat kelengkapan alat yang tersedia diguna. Mana tidaknya, tiada satupun alatan yang dipakai menepati standard sukan tenis sebenarnya. Bermula dari raket, net dan bola yang semuanya aku dapatkan secara percuma dan ikhsan dari teman-teman yang sudi memberi sumbangan, alat-alat yang tidak lagi mereka gunakan. Tapi apa yang penting semua itu sangat bernilai buat aku dan pelatih-pelatih baru setiaku. Apa yang penting juga minat anak-anak ini menjadi bekalan untuk aku memulakan latihan dan tidak mustahil mereka akan berjaya walau tiada sesiapapun yang pernah menaruh harapan.

Ikrarku saat itu, semua ini aku lakukan untuk anak-anak kami nanti. Aku mahu anak-anak kami melihat dan mempelajari kesungguhan yang kami cuba tonjolkan. Tidak ada hal yang mustahil untuk kita lakukan seandainya kita ada kemahuan. Tidak ada kejayaan yang datang menggolek tanpa usaha keras dan sesuatu yang kita lakukan dengan bersungguh-sungguh pasti akan membuahkan kejayaan. Aku ingin anak-anak kami memahami falsafah hidup yang kami terapkan. Aku ingin anak-anak kami belajar cara hidup dari seawal usia supaya mudah menghadapi cabaran di masa hadapan.

Ternyata sukan tenis mempunyai satu keistimewaan yang tidak bakal aku lupakan. Tenis tidak sekadar satu sukan atau juga satu permainan, tapi tenis mempunyai seribu satu makna yang tersurat dan tersira. Makna yang bakal mewarnai sejarah perjalanan anak-anak Shamida menempohi cabaran dan dugaan dalam hidup. Tenis mengajarkan kami bahawa dalam kehidupan kita harus punya keinginan….., dan setiap keinginan itu harus kita tunaikan….., tapi tetap saja akan ada cabaran yang menjadi halangan…., halangan bukan bermakna kita harus melupakan apa yang diinginkan….., halangan harus menjadi satu kekuatan untuk kita lebih berusaha mendapatkan segala impian…., kerana halangan itu bukan lagi satu cabaran bila kita berusaha bersama-sama dalam satu ikatan kekeluargaan….bersama-sama bersatu hati mencari jalan keluar dengan berusaha dan terus berusaha meningkatkan keupayaan dan mencari keyakinan diri….., dan akhirnya kejayaan yang diimpikan akan menjadi suatu yang sangat bermakna dan membanggakan setiap ahli dari kami….itulah prinsip dan falsafah “Shamida Tennis Family”…..setiap sesuatu harus bermula dengan fantasi dan akhirnya akan dijelmakan menjadi sebuah realiti…..

“Tennis runs in our blood”

Samsul Kamil Osman, Teratak Shamida, 11 September 2011.

Sunday 28 August 2011

Nor Aizan Ab Halim - Kisah-Kisah Selepas Jakarta – Siri 1

“Balik Kampung Lagi”
Hampir semua orang lalui. Bila tiba masa nak balik kampung terutama musim perayaan hati jadi bercampur baur suka dan duka. Seronok nak balik jumpa ibu bapa, saudara mara dan sahabat handai, tetapi duka bila fikirkan nak merentasi tiga buah negeri, Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang. Pasti akan mengambil masa yang lama. Apa lagi kalau kena bawa kereta sendiri, di musim perayaan dan tiada pemandu.

Hari jumaat malam sabtu, hati dah resah memikirkan besok kena `drive‘ sendiri bersama anak-anak. Kurang dapat lelapkan mata. Apapun kena lalui juga. Kawan-kawan sebut aku `iron lady’. Sebenarnya tidak, aku pun selalu cemas, cuma aku dah ada `masters’ dalam `pengurusan stres’, jadi selalu nampak macam tak ada masalah. Hehe....itulah pentingnya ilmu di dada. Dapat mengubat orang lain dan diri sendiri. Yang penting mesti selalu senyum.

Janji dengan Mak dan adik ipar yang sangat kusayangi Nie, aku akan bertolak pagi-pagi. Itu juga pesan mereka berkali-kali, mesti bertolak pagi-pagi tau, nanti `jam’ dan petang-petang sekarang hujan. Alhamdulillah sangat sayang mereka padaku dan anak-anak, risau takut aku berhalangan. Aku janji akan bertolak pukul 10 pagi. Biasanya itulah pagi yang paling pagi bagiku. Banyak urusan yang akan melambatkan aku. Aku pun tak faham, selalu macam tu.

Aku selalu kena perli dengan adik iparku Nie, tentang janjiku yang sangat sukar kutepati tentang bertolak awal-awal. Sebenarnya aku kena ikut `kata hatiku’ tentang semangat nak bertolak. Aku tak boleh memaksa diri untuk bergerak cepat kalau hatiku belum bersedia. Nanti ada-ada yang tak kena berlaku. Mereka kata aku saja-saja buat alasan, tetapi tidak sebenarnya.

Aku tak pernah marah adik iparku Nie walau apapun yang dia cakap aku akan ketawa dan tak ambil hati. Adik iparku Nie adalah anugerah yang sangat istimewa oleh Allah kepada Mak dan aku. Dia sangat berperanan melebihi anak-anak Mak sendiri dalam menjaga dan mengurus Mak yang sekarang kurang sihat menanggung `kanser ususnya’.

Disebabkan Mak tidak mahu bersamaku yang jauh dari keluarga dan kampung halaman, maka Nie bersama adik bongsuku suami Nie, mengambilalih menjaga Mak. Terima kasih Tuhan kerana mengurniakan Nie untuk kami. Kadang-kadang terasa sangat tidak bergunanya aku sebagai satu-satunya anak perempuan Mak, tetapi tidak dapat menjaga Mak sepenuhnya di saat dia memerlukan. Tetapi apa nak buat, Engkau juga yang mengatur segala-galanya.

Yah...seperti biasa selepas sahur aku terus berkemas-kemas untuk memastikan segala yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik. Pukul 10 pagi kami dah boleh bertolak? Oh tidak...rupanya ada lagi seorang yang belum dapat baju raya dariku. Macamana aku terlupa dengan yang seorang ini. Jangan risau, aku akan hantar sebelum bertolak balik ke kampung. Janjiku.

Aku memasukkan semua barang ke dalam kereta, yang insyallah kondisinya sudah sesuai untuk perjalanan jauh, setelah dua hari lepas aku hantar servis dengan kos RM700.00. Aduh, bonet Kia Spectraku penuh sampai ke bumbung. Nak tutup pun susah. Itulah aku setiap kali nak balik kampung, semua nak aku bawakan untuk orang-orang yang aku sayang di sana. Pakaian untuk ayah dan mak. Makanan raya, biskut-biskut dan kerepek hampir separuh bonet.

“Laa tak ada ke kat sana semua tu,” tanya kawan-kawanku.

“Ada, tapi tak sama.” Jawabku, dari segi psikologinya, orang-orang yang akan menerima pemberian kita ni merasa lain, nampak dari air muka mereka ketika menerimanya. Pemberian barangan yang susah payah kita bawa dari jauh dengan yang kita beli di tempat mereka tinggal, lain, tak sama. Lalu, aku sanggup bersusah payah untuk hal yang sepele macam ni, itu komen suamiku suatu ketika dulu. Bukan aku sengaja jadi macam ni, ia datang secara semulajadi, betul, tidak sengaja.

Setelah semuanya siap, anak-anak masuk ke kereta. Anak sulungku Putri akan ambil tempat duduk depan, sebagai `co-pilot’, menerima amanat ayahnya, “jaga mama, borak ngan mama, nanti mama tertidur.” Kadang-kadangnya `co-pilot’ yang tertidur dulu. Dulu ayahnya sangat-sangat tidak berani melepaskan aku bawa kereta jauh-jauh, sanggup dia hantar dan dia balik lagi selesaikan urusan yang belum selesai. Waktu balik pun sama, selalunya dia akan balik dulu selesaikan urusannya, kemudian datang untuk menjemput kami.

Itu cerita dululah. Lain hulu, lain parang, lain dulu lain sekarang. Ayah melambaikan tangan dan hanya berkata “take care ye.” Kena terimalah, “that’s your choice.” Aku membacakan doa perjalanan dengan kenderaan, anak-anak menadah tangan mengaminkan, “Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar....subhanalazi......” Selamatkanlah perjalanan musafir kami `fisabilillah’ demi ukhwah Islamiah. Insyallah. Amin.

Melihat `Ayah’, panggilanku untuk suami setelah mendapat anak sulung, rasa sayu hati. Tak tahu kenapa. Tetapi yang pasti, saat paling indah pasangan suami isteri ialah waktu sama-sama susah nak memulakan hidup. Mencari kestabilan dalam hidup. Melakukan segala-galanya bersama-sama. Susah senang bersama-sama. Banyak sekali masa yang dikongsikan bersama dan saling memerlukan satu sama lain. Sangat intim ketika itu, tidak nampak cacat celanya. Dulu fikir, alangkah seronoknya kalau mampu punya kerja bagus bergaji mahal, rumah besar selesa, kereta mewah dan punya kenalan hebat-hebat. Setelah mampu memiliki, rupa-rupanya semua itu tidak bermakna apa-apa jika masa kita bersama-sama jadi hilang, kesibukan akan menguasai, dan kewarasan akan mula terhakis disebabkan oleh kerjaya, persekitaran dan kenalan-kenalan hebat tadi. Semuanya makin menjarakkan kita dengan pasangan. Uhh.....sangat tidak suka.

Wah...jam sudah menunjukkan 10.30 pagi. Aku terpaksa menghantar baju raya untuk seorang lagi yang tercicir tadi. Aku terus menuju ke rumahnya. Alhamdulillah dia ada. Aku menyelesaikan tugasanku. Lalu boleh bergerak ke kampung sekarang.

Tiba-tiba Putriku menjerit, “Mama, baju raya kakak belum ambil...!” Laa....satu lagi masalah belum selesai. Tukang jahit baju anak perempuanku tidak dapat menyiapkan baju kebaya kelabu seminggu sebelum raya seperti janjinya. “Ambik hari Sabtu 27 Ogos ok puan...,” janji tukang jahit lagi. Apa nak buat kena ambil juga sebab itu pakaian satu keluarga di pagi Syawal, semua warna kelabu (grey), ikut permintaan adik iparku Nie.

Aku memecut kereta hitam kesayanganku ke butik pakaian tempat baju anakku ditempah. Alhamdulillah, nasib baik dia menunaikan janjinya. Tersenyum simpul Putri membelek-belek baju kebayanya sambil memuji “look’s so nice.” Aku hanya menganggukkan kepala, tidak mampu komen banyak-banyak
kerana sedar akan kelewatan waktu kami untuk bertolak ke kampung.

Aku menjeling jam di tangan kiriku. Ya Allah, akhirnya jam menunjukkan pukul 12.03 minit tengahari. Aku hanya dapat mengeluh, sedikit kesal kerana tidak dapat bertolak lebih cepat. Ada-ada saja halangan. Sekali lagi aku mengulangi kelewatanku. Maklum, semua aku nak uruskan sendirian. Takpe, cubalah yang terbaik, pujuk hatiku.

Kereta meluncur laju melalui Cheras kemudian Ampang. Jalan dah mula `macet’. Alamak, dah mula `trafik-jam’ ke? Hatiku mula berbicara sendiri. Ada dua kemungkinan saja ada kenderaan yang banyak atau berlakunya kemalangan. Kereta bergerak sangat perlahan. Hah tu kan, ada kemalangan. Sebuah motosikal tergolek atas jalan raya dan dua buah kereta remuk bahagian depan dan belakang, di arah laluan bertentangan alias sebelah sana, bukan sebelah sini, “tapi kenapa laluan kita yang menjadi perlahan ma?” Tiba-tiba Si bongsuku bersuara. Aku hanya ketawa, persoalan itu juga yang selalu bermain di mindaku. “Biasalah Dik, semua orang nak tahu apa yang berlaku, siapa yang kena, bagaimana kondisinya, supaya masing-masing boleh bercerita nanti. Atau mungkin masyarakat kita ni sangat peka dengan apa yang berlaku kepada orang-orang di sekelilingnya,” aku menjelaskan memberi sedikit pengertian positif dan negatif kepada putera-putera dan putriku yang berusia 9, 12 dan 14 tahun, yang sedang menyelami erti kehidupan.

Perjalanan diteruskan. Melalui Lebuhraya Karak ke Bentung. Masih lancar. Berhenti rehat di Masjid Raub, sekaligus solat Zohor dan Asar, terus Jamak Taqdim, pesanku kepada anak-anak, yang telah diajar melakukan solat Jamak seawal usia 7 tahun. Kami selalu melakukan perjalanan jauh, mereka perlu diajar untuk solat Jamak.

Alhamdulillah sekarang masing-masing sudah boleh melakukannya tanpa pemantauan, insyallah. Awal-awal dulu masih ingat putera sulungku Amin, selepas solat Zohor, di sebuah surau, yang sudah aku lupa lokasinya, sangat bangga dia dapat menyiapkan solat paling cepat. “Wow...abang siap paling cepat,” katanya ketika menjengah bahagian solat perempuan. Kebetulan lagi sepi. Aku dan kakaknya bangkit melakukan solat Asar, jamak, tanpa bercakap atau mempedulikannya. Amin cukup marah kerana soalannya kenapa kami solat dua kali tidak dijawab. Dia merajuk tidak dipedulikan. Setelah dijelaskan tentang solat jamak dan kami tidak boleh bercakap antara
dua solat jamak, barulah rajuknya hilang. Maklum, waktu tu Amin baru darjah satu, tetapi umurnya masih 6 tahun kerana dia lahir pada bulan Disember.

Selepas solat kami meneruskan perjalanan ke Lipis. Melalui Kampung Relong, hatiku jadi sayu pilu tak menentu. Di sinilah AHHku dilahirkan. Setiap kali melalui kampung ini, perasaan yang sama berkunjung tiba. Kadang-kadang terasa betapa bodohnya aku, begitu juga kata kawan baikku Nik kepadaku. Mungkin itu betul-betul cinta pertamaku. Perasaan yang hadir sebelum-sebelum itu hanyalah perasaan yang diistilahkan `cinta monyet’ agaknya, sebab itu tidak memberikan kesan mendalam. Aku hanya menggelengkan kepalaku untuk diriku sendiri bila mengenang masa laluku.

“Kenapa Mama gelengkan kepala,” tanya `co-pilot’ku menyedari tingkahlaku aku sebentar tadi. Aku menceritakan kepadanya.

“Kampung ni adalah kampung ex-boyfriend mama dulu tau,” beritahuku, sambil memerhatikan reaksinya.

“Hah...so Dad? I though he’s your first love?” Tanya Putriku yang kami panggil kakak.

“No... I don’t know what number’s he is?” Jawabku melawak sambil ketawa.

“Huh..playgirl jugak mama ni ye...” komen kakak sambil sama-sama ketawa.

“Bukan playgirl la kakak, orang minat mama, mama takde layan pun. Mama ni kan baik, kakak tak perasan ke?” Aku membela diri. Sama-sama ketawa lagi. Hilang mengantukku seketika dapat bercerita dengan kakak.

Aku memandang dua puteraku di belakang. Tidur lena mereka kalau kereta mula bergerak. Agaknya kepenatan. Baru habis menonton CD macam-macam cerita yang dibeli kakaknya di Pasaraya Giant semalam. Tadi riuh rendah ketawa. Sekarang sunyi sepi semula. Kakak di sebelah pun sudah tertidur. Mataku mula layu. Minda dan mata sudah tidak segar lagi. Nampak macam ada ketidaksinambungan satu sama lain. Aku mulai rasa risau. Bisa-bisa aku terbabas kalau begini berterusan.

Aku berhenti di stesen minyak Caltex untuk melayan mata sekejap. Lima belas minit tertidur. Bangun, aku meneruskan perjalanan. Tiba-tiba ngantuk datang lagi. Perut pun mula rasa mual mahu muntah dan kepala mulai sakit berdenyut-denyut. Aduh, gastrikku menyerang lagi ni. Aku terpaksa buat keputusan membatalkan puasaku hari ini. Sayang sekali, jam sudah menunjukkan hampir angka tiga. Apa nak buat, demi keselamatan, aku kena menggantikan puasaku selepas Ramadhan nanti. Apa makanan yang ada aku kunyah, biskut rayalah yang jadi mangsa. Ada kuaci dan coklat yang sudah aku buat persediaan `in-case’ terdesak. Bergunalah juga semua ini. Ketika mereka tidur aku terpaksa makan perlahan-lahan supaya tidak menganggu tidur mereka.

Tiba-tiba `trafik jam’ lagi. Ada satu lagi kemalangan yang berlaku sempena Syawal yang akan menjelma tak lama lagi. Sebuah kereta kancil putih terbabas melanggar pokok. Teruk juga remuknya. Ini mesti kes mengantuk macam aku tadi. Pandai-pandai aku membuat kesimpulan sendiri setelah melihat keadaan kemalangan tersebut.
Aku meninjau anak-anak di belakang. Masih tidur lena mereka. Tiba-tiba putera bongsuku terbatuk-batuk, lalu termuntah dengan bunyi dan bau yang sangat kuat menerpa hidungku.

“Adik, kenapa, adik muntah ke?” Tanyaku yang tidak dapat berpaling ke belakang.

“Yaa...,” jawab adik lesu tak bermaya. Adik selalu muntah kalau melakukan perjalanan jauh. Biasanya aku memberi ubat tahan muntah. Hari ini tidak kerana aku sangka dia sudah tidak memerlukannya lagi. Tahun ini sudah tiga kali `travel’ dia tidak muntah. Rupanya belum habis lagi masalah muntahnya.

Aku berhentikan kereta di tepi jalan. Meninjau adik di belakang. Alahai kesiannya. Seluruh muka dan bajunya penuh dengan sisa-sisa makanan berwarna coklat. Tadi dia makan `coklat cookies’ dan air vitagen. Itulah punca muntah dia agaknya. Bajunya kubuka. Aku lap muka dan badannya yang sangat comot. “Ok adik sabar sekejap, mama cari stesen minyak atau surau untuk adik mandi dan ganti pakaian adik, boleh tahan sebentar,” pintaku. Adik hanya mengangguk walaupun aku tahu dia dalam keadaan yang sangat tidak selesa. Anak-anak yang lain sudah bising mengomel, tak tahan bau, nak muntah. Aku hanya menyabarkan mereka.

Beberapa meter ke depan, ada kawasan makan. Disediakan sekali surau dan tandas serta tempat mandi dengan bayaran RM1.00. Aku bawa adik ke sana. Mandikan dia dan gantikan pakaiannya. Aku membersihkan muntah yang memenuhi sebahagian tempat duduk belakang. Huh, baunya. Terpaksa menggunakan kesemua tisu yang ada dan beberapa helai tuala mandi yang kubawa. Tinggal satu yang bersih untuk dialas tempat duduk adik. Tiba-tiba adik menciumku,

“Terima kasih mama, maafkan Adam,” ucapnya sayu.

“Kenapa adik cakap macam tu?” Tanyaku sambil senyum.

“Adam selalu susahkan mama,” katanya lagi.

Aduh hatiku pula yang jadi sedih. Aku memeluknya. Aduh, anakku yang satu ni kalau bercakap selalu menyentuh hati. Banyak sangat tengok cerita kartun. Dialognya pun hampir sama.

“Tak pe, bukan Adam sengaja pun kan,” kataku untuk mengambil hatinya. Kakak dan Abang tersipu-sipu malu melihat gelagat Adam, merasa diri diperli kerana tadi masing-masing beria-ia marahkan Adam yang telah menimbulkan bau yang tidak selesa, dan mereka pun mahu termuntah dibuatnya.

Tapi Adam memang sensitif orangnya. Kalau tengok dramapun boleh menangis tersedu-sedu. Dua hari lepas, ketika menunggu berbuka puasa, sambil kami menonton TV3, drama tv3 pukul 7 petang. Seorang mak menangisi kematian anaknya sambil mencium baju anaknya. Tiba-tiba Adam menangis tersedu-sedu sambil bertanya,

“Mama, mama ada simpan tak kain balut Adam masa kecil dulu,” tanyanya.

“Mama dah kasi orang. Kenapa, Adik nak buat apa?” Aku bertanya semula.

“Taklah....nanti kalau Adam tak ada, mama nak cium apa...?” Jawabnya dalam sedu-sedannya. Aduhai, anak ini, buat aku tidak dapat tidur semalaman. Macam-macam dia ni.

Semuanya selesai, kereta bergerak lagi menuju destinasi. Sebelum merentasi Bukit Tujuh, kenderaan mula `jam’ lagi. Sangat `jam’ kenderaan langsung tidak bergerak. Pasti banyak lori di depan, tekaku. Keadaan kenderaan yang tidak seimbang, arah yang bertentangan seolah-olah langsung tidak berkenderaan, menyebabkan pemandu-pemandu yang tidak berhemah mula memotong dengan laju ke depan. Kereta di belakangku cukup marah sambil menunjukkan simbol-simbol yang `tidak sihat’ dengan tangan. Aku dan anak-anak hanya ketawa melihat kelakuannya, walaupun sebenarnya kamipun marah juga. Kami dengan sabar beratur menunggu giliran bergerak, tetapi mereka dengan selambanya `memotong Q’.

Akupun mulalah bertazkirah kepada anak-anakku, jangan mencontohi tabiat tidak baik macam tu, kesian orang lain. Lama sekali untuk melepasi Bukit Tujuh yang namanya sempena mengikut bilangan bukit dan lembahnya. Rasanya hampir 5 jam di kawasan perbukitan ini sahaja.

Dalam perjalanan menuju ke Gua Musang, aku berhenti melayan mata beberapa kali. Mengantuk sangat. Hampir terbabas. Anak-anak berbuka puasa di dalam kereta. Makan biskut dan air kotak yang dibeli sebagai bekalan tadi. Hinggalah samapai di R&R Gua Musang barulah aku membelikan mereka Nasi Goreng Cina panas-panas. Sedap rasanya. Mereka suka sebab kacang dan keretnya lembut sekali, ada udang dan ayam juga. Atau mungkin juga sebab kelaparan. Berpuasa tanpa makan berat selama 15 jam. Harganya pun berpatutan RM4.50 sebungkus. Tidak mencekik darah macam biasanya di musim perayaan, orang terdesak. Kami juga minum kopi singgah sebentar yang diberi percuma.
Perjalanan diteruskan. Di sebelah kiri jalan kelihatan sebuah Iswara Aeroback hijau muda sedang terbakar. Tidak tahu punca. Mungkin berlanggar atau terbakar sendiri, tidak pasti dan tidak berminat untuk ambil tahu. Minda dan jiwa sudah penat sebenarnya.

Ketika anak-anak tidur lena aku memandu bersendirian, bertemankan lagu-lagu lama `evergreen’ seperti lagu `Sekuntum mawar merah’, Keroncong untuk Ana, Kamelia, Sampaikan Salam dan beberapa buah lagi lagu yang termuat dalam kaset usang ketika aku di Jakarta dulu lagi. Segar jiwa mendengaar lagu-lagu lama ni.

Jam telah menunjukkan pukul 2.30 pagi ketika aku memasuki pintu pagar rumah adikku, yang dibiarkan terbuka menunggu ketibaan kami. Mak membuka pintu rumah. Aku pasti sepanjang hari ini mak tidak dapat melelapkan mata selagi belum melihat kelibat kami di depan matanya. Itulah ibuku. Aku memeluk erat Mak yang kelihatan pucat dan kurus menderitai penyakitnya. Tapi Mak seorang yang kuat semangat. Adikku dan Nie isterinya bangun bersalaman dengan kami. Alhamdulillah, selamat juga perjalanan kami yang bertujuan baik ini. Insyallah dapatlah kami berkumpul bersama-sama meraikan kemenangan dan keberkatan Ramadhan serta ketibaan Syawal yang mulia. Amin.

“Salam Idulfitri maaf zahir batin kepada semua pembaca”.

Pasir Mas Kelantan, 28 Ogos 2011

Thursday 18 August 2011

Hidup Sesudah Pulang – Siri 2 – Ismail Abdullah

“Tinggal di Jalan Raja Abdullah Kg Baru”
Ketika aku dan family tiba di lapangan terbang Subang dari Jakarta, Bang Ahmad sudah menunggu. Abang Ahmad berada pada kedudukan ketiga dan aku keempat dalam lapan beradik bersaudara. Selepas membereskan urusan imigrasi dan pengambilan barangan, kami dibawa Bang Ahmad tinggal bersamanya di Flat Loke Yew, Kuala Lumpur buat sementara waktu.

Ketika itu Bang Mat (panggilan ringkas Abang Ahmad) bertugas di Kem Sungai Besi, dalam Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Bang Mat banyak membantu aku ketika di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh dan juga ketika aku di Institut Teknologi Mara (ITM), Jalan Othman, Petaling Jaya dalam Tingkatan Enam. Jasanya tidak mampu ku balas, hanya Allah yang dapat membalas segala budi baiknya. Hendak mengharapkan bantuan Ibu dan Ayah di kampong sesuatu yang sukar ketika itu kerana harga getah yang terlalu rendah dan tiada simpanan wang langsung. Ketika aku nak dihantar ke STAR, Ipoh seekor dari lembu peliharaan ayahku sudah dijual untuk biaya teksi dan lain-lain.

Keadaan hidup di Baling ketika tahun-tahun 60an sungguh daif, ditambah pula dengan masalah komunis di sempadan Siam, tiap malam ketika itu akan kedengaran ledakan bom sayup-sayup di sempadan sebelah Betong. Kadang kala “curfew” dikenakan bagi mengejar komunis yang sekali sekala datang ke kampong-kampong mencari makanan dan juga mencari “member” baru.

Tiba-tiba lamunan ku terhenti dan aku dengar seseorang memanggilku.
“Bang Mail, ada rumah sewa di Jalan Raja Abdullah, Kg Baru. Nak tak?”, Tanya adik ku Siti Zabedah. Sewa ketika itu kata adikku RM150.00 dan berdekatan dengan rumah SM Salim, penyanyi lagu asli yang terkenal itu. Aku pun tanpa fikir panjang bersetuju, Seminggu lepas itu kami pun pindah ke rumah sewa di Jalan Raja Abdullah, Kg Baru.

Salah satu cara ke UPM ketika itu ialah naik bas, jauhnya dan lamanya perjalanan. Akhirnya kami “pool car” dengan Drs Mohd Noor Wahab, ketika itu bertugas sebagai Tutor di Jabatan Biokimia dan Mikrobiologi, UPM. Dia yang ada kereta, jadi bayar kat dialah sebagai saguhati. Sambil itu aku pun belajar memandu kereta dengan salah sebuah pusat memandu kereta di Jalan Raja Bot, belakang Pasar Chow Kit.

En. Ghani, tuan punya pusat latihan memandu mengajarku membawa kereta dan beberapa minggu kemudian aku diuji di Pusat Ujian Memandu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Petaling Jaya dan lulus dengan sekali ujian saja. Beberapa hari kemudian, En Ghani menyerahkan lesen memandu dan aku mula berangan-angan memiliki kereta. Dengan gaji ketika itu RM800, sewa rumah RM150, makanan harian dan lain-lain tidak berdaya aku membeli kereta baru, kereta lama pun belum tentu.

Aku fikir baik juga aku menabung wang untuk beli kereta. Setidak-tidaknya bayar muka lebih tinggi, bayaran bulanan akan lebih rendah. Itu perancanganku.

**** siri ke-3, berpindah ke Kg Malaysia Raya ****

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 19 Ogos 2011.