Wednesday 14 September 2011

Kisah Selepas UI Depok – Siri 1 – Samsul Kamil Osman

Tenis Dunia Baru kami

Kerancakkan kejohanan tenis US Open 2011 telah menuju kemuncaknya. Rafael Nadal dengan gaya permainan luar biasanya telah menafikan kemaraan Andy Murray untuk mara ke final. Novak Djokovic dengan pertarungan yang penuh debaran telah berhasil mengenepikan kebangkitan kembali Roger Federer, bintang lagenda tenis yang masih menampilkan kehebatannya sehingga ke hari ini. Sedang aku menulis coretan ini, pertarungan dua bintang tenis wanita Serena Williams dan Caroline Wozniacki yang berlangsung untuk mencari satu lagi slot di final wanita, bakal berdepan dengan Samantha Stosur yang telah menafikan kebangkitan Angelique Kerber di semi final sebelumnya.

“Tennis”…, sukan yang memberi banyak kenangan manis dan terindah dalam keluarga Shamida. Tidak berlebihan jika aku katakan di sini, “Tenis dan Shamida” itu adalah dua perkataan yang tidak dapat dipisahkan. “Shamida itu tenis dan tenis itu adalah Shamida”. Memang kedengarannya seperti satu ungkapan yang tidak masuk akal dan melucukan, tapi itulah hakikatnya. Tenis telah membawa banyak perubahan dalam keluarga Shamida. Tenis telah banyak memberi pengajaran dan tidak kurang juga pelbagai pengalaman yang sangat bermakna mematangkan anak-anak Shamida dari seawal usia kecil mereka sehinggalah sekarang, setelah mereka telah mencecah usia remaja dan semakin hampir menuju dewasa.

Walaupun anak-anak Shamida tidak sehebat Sarena Williams atau juga kakaknya Venus Willams dari “Williams Family’…., tidak juga sehebat Roger Federer apa lagi jauh sekali dibandingkan dengan Rafeal Nadal atau saja Novak Djokovic. Tapi paling tidak Mohd Alieff Shamida, Mohamad Arieff Shamida dan Nur Aniess Shamida pernah mewarnai kejohanan-kejohanan tenis peringkat junior yang pernah diadakan di tanah air kita bermula dari tahun 2002 sehinggalah ke hari ini. Bermula dari anak kampong, yang datangnya dari daerah di Hulu Baling. Kemudian mencuba nasib ingin belajar bermain di bandar-bandar seperti di Alor Setar dan Sungai Petani…. Akhir berjaya juga menjelajah sehingga ke seluruh pelusuk tanah air, bermula dari Kangar, Perlis sampailah ke Kuching, Sarawak. Pada awal penglibatan hanya menjadi anak-anak belasahan, tapi akhir dapat juga muncul antara pemain yang sering digeruni oleh lawan apabila turun ke gelanggang permainan.

Sejarah bermulanya mengenal permainan tenis bagi keluarga Shamida terjadi apabila aku sebagai ayah mereka, berjinak untuk belajar bermain pada tahun 2000. Berlaku secara kebetulan apabila aku memilih untuk ikut teman-teman mengambil kursus pilihan permainan tenis sebagai pelengkap mata kuliah gerak kerja ko-kurikulum di Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim, Sungai Petani (MPSAH). Aku ketika itu sedang mengikuti pengajian Kursus Diploma Lepasan Ijazah untuk melayakkan aku menjadi seorang guru kemudian kelak. Tenis aku pilih kerana tidak punya pilihan, teman-temanku semuanya sudah lama berjinak dengan sukan ini dan menurut mereka tenis sukan yang elit. Aku turut saja walaupun ketika itu jangankan bermain, raket tenis pun aku tak punya sama sekali.

Setiap petang, bila tiba waktu aktiviti ko-kurikulum, kami diwajibkan turun ke gelanggang. Aku mula berjinak turun ke court, apa lagi setelah dihadiahkan oleh isteri tercinta raket tenis yang terlihat antik. Raket hadiah dari isteriku itu memang benar-benar antik, dipilih dalam kotak lelongan di kedai sukan kerana ketika itu harganya murah. Menurut tuan kedai, raket itu keluaran tahun tahun awal 70-an, mungkin sezaman dengan lagenda tenis John McEnroe. Raket itu masih aku simpan sebagai kenangan. Kali pertama turun bermain, layakku bukan memukul bola tapi lebih kepada pengutip bola di gelanggang. Tidak ada teman-teman yang ingin menjadikan aku sparing partner kerana memang aku tak bisa sama sekali memukul bola lagi. Jika boleh sekalipun, bola tenis yang aku pukul melepasi pagar gelanggang saja nanti.

Tapi aku tidak pernah berputus asa, dari hari ke hari aku mencuba dan terus mencuba lagi. Sehinggalah akhirnya aku dapat mempelajari cara bermain dan mampu untuk membuat hantaran bola dengan baik sekali. Tiada lagi bola tenis yang aku pukul melepasi pagar gelanggang kini, aku sudah mula mendapat pujian rakan dan teman bermain. Memang betul kata pepatah Melayu, “jika ada kemahuan, di situ pasti ada jalan,”. Sejak itu aku mula tertarik dengan sukan ini dan menanam iltizam, permainan ini akan aku turunkan kepada anak-anakku suatu hari nanti. Tidak mustahil anak-anakku akan berjaya nanti, apalagi mereka masih muda dan tentu saja cepat mempelajari setiap apa yang diajarkan nanti. Seperti juga pepatah Melayu yang satu ini, “melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Aku yang sudah berumur saja masih cepat dapat menguasai permainan ini, apalagi mereka yang masih muda dan aktif sekali ketika itu.

Selepas menamatkan pengajianku di MPSAH dan layak menjadi guru di sekolah, tepatnya pada bulan Januari 2001 aku telah ditugaskan mengajar di daerah Hulu Perak, di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Hulu. Aku dan isteri memilih untuk menetap di Baling, apa lagi ketika itu isteriku memang sudah mula mengajar di Sekolah Model Khas Baling sejak dari tahun 2000. Memilih tinggal di Baling pada awalnya bukanlah satu pilihan yang mengembirakan hati. Apa lagi saat itu, Baling merupakan sebuah daerah kecil yang belum punya banyak kemudahan dan terasa sangat jauh terpencil serta masih sunyi suasananya. Dibandingkan dengan suasana sebelumnya, ketika kami tinggal di daerah kota dan bandar-bandar besar seperti Ipoh, Pulau Pinang dan paling tidak sebelumnya di Sungai Petani, memang Baling jauh berbeza. Di kota-kota tidaklah sunyi seperti di sini, ada saja tempat hiburan untuk dikunjungi bagi menghiburkan hati anak-anak kecil kami. Tapi di Baling memang sangat sepi, tempat hiburan jauh sekali malah tak ada sama sekali. Kalaupun ada cuma tempat-tempat rekreaksi seperti air terjun Lata Bayu, Lata Mengkuang, Lata Bukit Hijau atau juga Kolam Air Panas di Ulu Legong.

Pada awalnya ketika kami tinggal di sini, rasanya sangat sulit untuk beradaptasi. Apa lagi bila memikirkan masa depan anak-anak kami. Rasa takut mula menghantui diri, anak-anak takutnya nanti tak pandai nak menyesuaikan diri. Kata orang tinggal di desa menyebabkan mental anak-anak tidak berkembang baik dan akan merasa rendah diri. Tapi kami tidak punya banyak pilihan lagi, semuanya harus dihadapi dengan cekal dan berani. Sesuatu harus dilakukan supaya anggapan orang dapat dinafi. Tinggal di kawasan kampong bukan bermakna kita harus menyerah diri, takdir sebenarnya masih boleh diubah dengan berdikari. Asal saja kita mahu berikhtiar dan berusaha membuat perubahan dalam diri. InsyaAllah setiap sesuatu itu akan ada hikmahnya sendiri.

Kami memilih untuk tinggal di kuartes guru Sekolah Model Khas Baling, kebetulan isteriku ditempatkan mengajar di sini. Sekolah ini memang sangat istimewa kerana sekolah rendah dan menengah ditempatkan sekali dalam satu pentadbiran yang sama pula lagi. Sekolah ini ketika itu dianggap sebagai sekolah untuk memberi peluang dan ruang belajar kepada anak-anak dari kalangan rakyat berpendapatan rendah dan tergolong miskin, tapi mempunyai potensi dalam pelajaran dan sukan. Sekolah bantuan penuh kerajaan dengan semua pelajarnya ditempatkan di asrama dan dengan kadar bayaran yuran yang sangat rendah sekali. Seingat aku yuran asrama yang dikenakan ketika itu cuma RM10.00 sebulan bagi setiap pelajar. Malah hampir semua pelajar sekolah menengah pula akan dibekalkan juga bantuan biasiswa. Pelajarnya pula dipilih dari seawal tahun 4 sehinggalah ke tingkatan 5.

Hebatnya, sekolah ini mempunyai kemudahan sukan yang setaraf dengan sekolah Berasrama Penuh di bandar-bandar. Antara kemudahan yang canggih yang dimiliki ialah 3 gelanggang tenis dalam keadaannya memang sangat baik sekali. Tapi sayang tidak dilengkapkan dengan net menyebabkan tiada sesiapapun yang dapat bermain dan memanfaatkan gelanggang sebaik ini. Aku melihat itu merupakan satu pembaziran jika terus dibiarkan begitu saja, lalu aku mengambil peluang untuk melatih anak-anak kami di sini. Aku menyatakan hasrat hatiku kepada isteri supaya memohon kepada pengetua mendapatkan kebenaran melatih anak-anak sekolah yang berminat dan sekaligus dapat melatih anak-anak kami juga nanti. Hasrat kami itu kemudian diperkenankan oleh pengetua sekolah, dan bermulalah episod pencarian bakat dan hasrat untuk melatih anak-anakku tertunai juga akhirnya.

Tapi semua itu tidak semudah seperti yang dijangkakan. Halangan tetap saja ada, apa lagi ketika itu yang ada cuma gelangang semata-mata. Kemudahan dan peralatan sebenar masih tak punya, termasuklah net yang menjadi hal paling utama. Untuk membeli net memang saat itu perlu belanja yang besar. Apa lagi kami harus membeli keperluan utama lain seperti raket dan juga bola. Tuan Pengetua awal-awal lagi telah menyatakan sekolah tidak punya peruntukan untuk berbelanja, sekolah baru wang masih sedikit dan tidak dapat menampung biaya.

Sebagai langkah agar usaha melahirkan bakat pemain tenis tidak berkubur begitu saja, aku dan isteri mula berikhtiar mencari jalan keluar. Pertama memikirkan bagaimana mendapatkan net agar permainan dan latihan dapat segera dimulakan tanpa perlu mengeluar biaya yang besar. Kedua mendapatkan raket untuk kegunaan pemain, kerana ketika itu harganya memang sangat mahal dan tak mampu dibeli oleh pelajar, apa lagi rata-rata mereka anak-anak miskin dari kampong yang tak punya.

Tapi ternyata anak-anak ini punya idea yang cukup hebat. Mungkin saja mereka anak kampong yang sering gunakan jaringan untuk menangkap ikan di sungai, atau juga menjerat burung di bendang. Aku masih ingat cadangan dari pelajar yang bernama Asrul dan Azhar, memang cukup baik sebagai jalan keluar.

“Sir, apa kata kita gunakan jaring berwarna hijau yang dijual di kedai hardware untuk dijadikan net. Jaring yang biasanya dibuat pukat menjerat burung atau ikan.” Cadangan dari Azhar memberi jalan keluar.

“Tak ada masalah Sir, saya, Shamimi, Khairul dan kawan-kawan yang lain akan bantu pasangkan tali dan kemudian kita ikat kat tiang yang dah memang ada di court tenis tu,” Asrul pula menyampuk menguatkan cadangan Azhar sebelumnya.

“Supaya nampak jelas, di atas net tu nanti kita staplerkan surat kabar, jadi nampak terang sikit,” giliran Shamimi pula memberi saran yang dianggap lucu oleh kawan-kawan yang lain sehingga disambut dengan gelak ketawa rakan-rakan mempersendakan cadangan yang dikemukakan.

Akhirnya atas idea dan cadangan pelajar-pelajar yang berminat menjadi pelatih, aku dan isteri cuba mengadaptasi idea yang diberi. Kami berusaha mendapatkan jaring dengan membeli sediri di kedai. Ternyata cadangan mereka yang awalnya seperti lucu itu ada benarnya juga. Net yang menjadi masalah sebelumnya dapat kami atasi segera, walaupun nampak jelek tapi yang penting boleh dimanfaatkan. Apa yang paling penting anak-anak dapat bermain segera, minat pelajar-pelajar tak harus disia-siakan begitu saja. Siapa tahu di antara mereka akan lahir sebagai jaguh tenis nantinya, ataupun paling tidak akan membuka mata bahawa anak kampong juga boleh menjadi juara.

Bermula dari peristiwa itu maka sejarah penglibatan keluarga Shamida dalam sukan tenis pun membuka tirainya. Walaupun pada awal-awalnya hanya menjadi bahan ketawa rakan-rakan guru dan pelajar-pelajar yang hairan melihat kelengkapan alat yang tersedia diguna. Mana tidaknya, tiada satupun alatan yang dipakai menepati standard sukan tenis sebenarnya. Bermula dari raket, net dan bola yang semuanya aku dapatkan secara percuma dan ikhsan dari teman-teman yang sudi memberi sumbangan, alat-alat yang tidak lagi mereka gunakan. Tapi apa yang penting semua itu sangat bernilai buat aku dan pelatih-pelatih baru setiaku. Apa yang penting juga minat anak-anak ini menjadi bekalan untuk aku memulakan latihan dan tidak mustahil mereka akan berjaya walau tiada sesiapapun yang pernah menaruh harapan.

Ikrarku saat itu, semua ini aku lakukan untuk anak-anak kami nanti. Aku mahu anak-anak kami melihat dan mempelajari kesungguhan yang kami cuba tonjolkan. Tidak ada hal yang mustahil untuk kita lakukan seandainya kita ada kemahuan. Tidak ada kejayaan yang datang menggolek tanpa usaha keras dan sesuatu yang kita lakukan dengan bersungguh-sungguh pasti akan membuahkan kejayaan. Aku ingin anak-anak kami memahami falsafah hidup yang kami terapkan. Aku ingin anak-anak kami belajar cara hidup dari seawal usia supaya mudah menghadapi cabaran di masa hadapan.

Ternyata sukan tenis mempunyai satu keistimewaan yang tidak bakal aku lupakan. Tenis tidak sekadar satu sukan atau juga satu permainan, tapi tenis mempunyai seribu satu makna yang tersurat dan tersira. Makna yang bakal mewarnai sejarah perjalanan anak-anak Shamida menempohi cabaran dan dugaan dalam hidup. Tenis mengajarkan kami bahawa dalam kehidupan kita harus punya keinginan….., dan setiap keinginan itu harus kita tunaikan….., tapi tetap saja akan ada cabaran yang menjadi halangan…., halangan bukan bermakna kita harus melupakan apa yang diinginkan….., halangan harus menjadi satu kekuatan untuk kita lebih berusaha mendapatkan segala impian…., kerana halangan itu bukan lagi satu cabaran bila kita berusaha bersama-sama dalam satu ikatan kekeluargaan….bersama-sama bersatu hati mencari jalan keluar dengan berusaha dan terus berusaha meningkatkan keupayaan dan mencari keyakinan diri….., dan akhirnya kejayaan yang diimpikan akan menjadi suatu yang sangat bermakna dan membanggakan setiap ahli dari kami….itulah prinsip dan falsafah “Shamida Tennis Family”…..setiap sesuatu harus bermula dengan fantasi dan akhirnya akan dijelmakan menjadi sebuah realiti…..

“Tennis runs in our blood”

Samsul Kamil Osman, Teratak Shamida, 11 September 2011.

No comments:

Post a Comment