Thursday, 18 August 2011

Hidup Sesudah Pulang – Siri 1 – Ismail Abdullah

“Aku ditindik ke UPM”
“Tahniah Mas Ismail”, penghargaan dari beberapa teman sebaik saja aku usai “viva” tesis akhir ku dalam Aljabar Abstrak tentang “Ideals On Commutative Rings”, sebuah tajuk yang terpaksa diceritakan dalam konteks yang lain.

Biasanya Pak Dosen Pembimbing akan memberikan komentar, “lulus” atau “lulus dengan koreksi kecil”, “lulus dengan koreksi besar”, atau “ulang semula tesis”. Pak Drs Kusno Kromodihardjo dosen pembimbingku hanya menyatakan vonis, “lulus”. Hati ini berbunga dan kembang mekar. Sejak itu aku bisa digelar “Drs Ismail Abdullah”. Ini berlaku pada awal Oktober 1976 di Jurusan Matematik, Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (MIPA), Institut Teknologi Bandung (ITB).

Tidak sabar rasanya untuk pulang ke rumahku di Jalan Muararajeun, Bandung untuk menceritakan kepada isteriku tercinta Umi betapa misiku sudah terpenuhi, dan aku akan pulang ke Malaysia dengan isteri (ijabsah), anak dan Ijazah dalam waktu segera. Agaknya seperti tiga dalam satu.

Beberapa minggu sebelum aku masuk ”viva” tesis akhir, sepucuk surat dari Jabatan Matematik, Universiti Pertanian Malaysia (UPM) telah ku terima dengan tajuk, “Anda ditindik ke UPM”. Tidak faham makna “tindik” pada masa itu, pernah dengar budak-budak perempuan masa kecil ditindik telinga mereka untuk memasukkan subang, tetapi untuk aspek lain tak pernah pula ku dengar istilah itu.

Pada 16 Oktober 1976 aku resmi menjadi tutor di Jabatan Matematik, UPM ketika itu Dr Ariffin Suhaimi menjadi Dekan dan Dr Sulaiman Noordin sebagai Timbalan Dekan dan Dr Mohamed Suleiman pula sebagai Ketua Jabatan Matematik. Nama-nama inilah yang perlu aku kenal untuk meneruskan kehidupanku dalam bidang akademik. Ketika itu jawatan tutor ialah suatu jawatan sementara dan perkhidmatan tidak dikira untuk tujuan persaraan. Aku tidak begitu pasti jalur kerjaya yang akan aku tempoh ketika itu, lagi pula tidak ada siapa yang menceritakannya. Masing-masing dibiarkan berkembang sendiri.

Seniorku seperti Drs Jambari Hj Ali, Drs Abdul Rahman Kurais, dan Drs Wan Daud telah diangkat sebagai pensyarah sebaik saja pulang dari Indonesia tetapi kami yang pulang sedikit terlewat hanya diangkat sebagai Tutor (Sementara). Ketika ditanya kenapa perkara ini terjadi? Kata pihak atasan kerana telah berlaku perubahan kurikulum di ITB dan kami adalah angkatan selepas kurikulum itu diguna pakai.

“Nasib, oh nasib”, getusku dengan nada agak marah. Dongkolnya hanya dalam hati dan tak berani melawan ketua secara terang. Fikiran ku berkecamuk ketika itu dan otak ini terus mencari penyelesaian demi penyelesaian bagi mengatakan bahwa tidak ada perubahan kurikulum yang berlaku. Malah, di Universiti Teknologi Malaysia yang ketika itu Naib Canselornya Tan Sri Ainuddin Wahid, adik-adik kelas kami masih diterima di sana sebagai pensyarah. Ternyata lain university lain pula polisinya. Aku terus bingung dan rasa seperti keadilan dipermainkan.

Bersambung disiri berikutnya ……..

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 19 Ogos 2011.

No comments:

Post a Comment